Sambal, Dendeng Nyet Berapi Khairul Aming terima sijil halal
SHAH ALAM - Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi keluaran pempengaruh terkenal, Khairul Aming menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, berkata, pemilikan sijil halal berkenaan membuka peluang kepadanya untuk memasarkan produk ke pasaran luar dengan lebih meluas.
"Hari ini kita nak umumkan yang kita dah dapat sijil halal Jakim untuk produk jenama Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi dan juga Sambal Nyet Berapi.
"Sebenarnya, tahun ini kita letak sasaran nak dapatkan sijil halal untuk kilang Khairul Aming di Kota Bharu, Kelantan. Hari ini, Alhamdulillah kita dah dapat sijil halal itu daripada Jakim," katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Rabu.
Khairul Aming merupakan pempengaruh media sosial dan beliau mula dikenali kerana kebolehan memasak serta menghasilkan kandungan dengan berkongsi resipi masakan menarik dan mudah diikuti.
Beliau merupakan salah seorang personaliti media sosial yang sangat berjaya di Malaysia, bukan sahaja dalam bidang masakan tetapi juga dalam dunia keusahawanan.
Mengulas lanjut, Khairul Aming memaklumkan, selain daripada sijil halal, produk keluarannya juga sudah mendapat kelulusan Skim Pensijilan MeSTI Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, dengan hanya satu kilang dibangunkan di Kota Bharu, kini beliau sudah memiliki 100 pekerja hasil kerja keras yang bermula daripada bawah.
"Seterusnya, insya-ALLAH kita akan cuba mohon untuk dapatkan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) pula untuk kilang kita di Kelantan.
"Jadi, dengan adanya (sijil) halal ini, sekarang kita dah boleh mulakan langkah baharu untuk kembangkan lagi kita punya produk ke pasaran yang lebih besar.
"Diharapkan, kita boleh kembangkan lagi industri e-dagang dan juga pengilangan makanan di Kota Bharu," ujarnya.
Tambah Khairul Aming, kini beliau sedang fokus untuk menghasilkan produk ketiga yang dijangka dilancarkan pada tahun depan.
Katanya, jenama Khairul Aming itu sudah memasuki usia lima tahun dan beliau menghargai semua pelanggan yang sentiasa menyokong dan membeli produknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!