Kedah sokong usaha singkirkan Israel dari PBB
KUALA NERANG - Kerajaan negeri menyokong segala usaha menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, kewujudan Israel tidak pernah diiktiraf dan ia wujud secara haram.
Beliau berpandangan, Israel juga tidak sepatutnya menganggotai PBB sejak dari awal namun badan dunia itupun telah dikawal.
"Jadi, idea yang baiklah jikalau boleh dijayakan (menyingkirkan Israel dari PBB).
"Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pun dia (Israel) ketepi begitu sahaja, (sedangkan) ICJ sudah jatuh keputusan (Israel lakukan) genosid di Palestin," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera Daerah Padang Terap di Kampung Perik, mukim Kurong Hitam, di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menyatakan, segala usaha perlu diambil bagi merealisasikan hasrat menyingkirkan Israel tersebut.
"Berapa banyak langkah yang boleh diambil untuk melenyapkan dia (Israel), (maka) kena diambil (dan) bukan sahaja singkirkan Isreal, jikalau boleh lenyapkannya," katanya.
Beliau menambah, semua pihak perlu bersatu padu untuk memastikan usaha menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB tercapai.
Sebelum ini, Kelantan menyokong penuh cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa konsensus antarabangsa bagi menyingkirkan Israel daripada PBB.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menyatakan bahawa langkah tersebut penting untuk memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.
Ia susulan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin lepas, menyeru pemimpin dunia sepakat menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Beliau juga menyeru supaya memberi bantuan kemanusiaan dan membuka ruang kepada negara lain untuk membantu rakyat Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!