Pemilik restoran jual ayam goreng kunyit RM20 di Langkawi didenda RM10,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LANGKAWI - Pemilik restoran yang pernah tular menjual menu ayam kunyit RM20 di sini dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal menyimpan rekod belian dan jualan produk masakan seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tertuduh, Asyuni Mastura Basri, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemilik premis Danau Bingkuong Enterprise di Jalan Pantai Chenang di sini didakwa gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan dari Januari 2021 hingga 30 November 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 53A(3) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Hezrin Abd Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, premis terbabit yang dimiliki tertuduh menjual masakan ayam goreng kunyit RM20 kepada orang awam dan isu itu tular di media sosial selepas dimuat naik pengadu pada 14 Januari lalu.

Selepas siasatan dibuat, tertuduh gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengemukakan invois jualan dan belian produk.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!