Langgar lampu isyarat merah di Muar, pacuan empat roda dikejar sampai KL

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz)
A
A
A

MUAR – Polis memburu sebuah pacuan empat roda yang cuba meloloskan diri semasa dikejar sejauh 180 kilometer dari daerah ini sehingga ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, insiden terbabit bermula jam 2.30 pagi, Rabu selepas pemandu kenderaan berkenaan melanggar lampu isyarat merah di Jalan Bakri.

“Secara kebetulan sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar terserempak kenderaan terbabit, lalu memintanya berhenti untuk pemeriksaan.

“Namun suspek terus memecut kenderaannya dan melarikan diri sebelum pasukan peronda terbabit terus mengejarnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pasukan peronda terus mengejar kenderaan dipandu suspek dengan bantuan Polis Kontinjen Melaka serta Bukit Aman dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur sehingga ke Jalan Chan Sow Lin.

Namun, suspek meloloskan diri apabila kenderaan dipandunya 'memanjat' tebing yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum memandu melawan arus.

"Suspek kemudian menghilangkan diri. Usaha mengesan pemandu dan kenderaan pacuan empat roda terbabit masih giat dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai kenderaan dan suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Beliau memberitahu, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!