Wajibkah anak sindrom down berkhatan?
SEBUT sahaja tentang berkhatan, semua sedia maklum dengan syariat Islam yang satu ini.
Dari segi hukumnya, ia diwajibkan ke atas setiap umat Islam sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat.
Sabda Rasulullah SAW: "Lima perkara fitrah manusia iaitu berkhatan, istihdad, cabut bulu ketiak, potong misai dan memotong kuku." (Riwayat al-Bukhari)
Namun, bagaimana dengan anak sindrom down? Adakah berkhatan itu diwajibkan juga ke atas mereka?
Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini membincangkan lanjut mengenai topik tersebut.
Sebelum menjawab tanda tanya berkenaan, pendakwah yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris mengajak kita untuk menyelami amalan berkhatan itu.
Jelas beliau, menurut Mazhab Syafie yang diamalkan di negara ini, amalan berkhatan diwajibkan ke atas setiap umat Islam baik lelaki mahupun perempuan.
"Kita perlu ingat bahawa berkhatan juga ada signifikannya dari segi saintifik. Apabila berkhatan, ia dapat mengurangkan atau mengelakkan daripada terkena penyakit, selain berupaya menjaga kebersihan," katanya.
Kepada ibu bapa yang mempunyai anak sindrom down, kata Fitri, mereka boleh membawa anak-anak berkhatan selagi tiada kekangan untuk berbuat demikian.
"Selagi mana anak itu boleh dibawa ke klinik (untuk berkhatan), tidak meronta dan sebagainya, sebaiknya, bawalah anak itu berkhatan.
"Insya-ALLAH semoga kita dapat hikmat dan manfaat daripada amalan berkhatan ini," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!