Polis terima 11 laporan berhubung video didakwa fitnah PM - KPN
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 11 laporan berkaitan video tular dakwaan fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan wawancara dengan CNN mengenai konflik Israel-Palestin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
"Setakat ini, terdapat 11 laporan berkaitan isu ini dan seramai 12 saksi telah dirakam keterangan.
"Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya pada Rabu.
Pada Selasa, Gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung kes terbabit.
Baru-baru ini, satu video memaparkan seorang individu mendakwa kononnya Anwar mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Bagaimanapun, Anwar ketika menjelaskan mengenai isu itu berkata, beliau tidak mengiktiraf negara Israel dan menegaskan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, fitnah yang dimainkan pihak yang menyunting video tersebut adalah bersifat tidak adil kerana Anwar serta kerajaan telah berulang kali menyatakan bahawa Malaysia tidak akan pernah berganjak daripada pendirian untuk memperjuangkan Palestin serta rakyatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!