ACT Wanita: Malaysian Tigress terlepas podium, tewas 1-4 kepada Jepun
MALAYSIA terlepas peluang menamatkan kemarau 11 tahun menaiki podium pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.
Jepun sebagai naib juara bertahan mendahului menerusi pukulan sudut penalti oleh Mayuri Horikawa pada minit ketiga di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar di Rajgir, India.
Pasukan nombor 11 dunia itu meluaskan kelebihan mereka dengan dua gol padang pada suku kedua sumbangan Hiroka Murayama (minit ke-24) dan Ayana Tamura (minit ke-28). Miyu Hasegawa kemudian menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-35.
Malaysian Tigress yang berkedudukan ranking ke-23 dunia, berjaya memperoleh gol sagu hati dalam suku terakhir permainan apabila Azmyra Mia Sofea Azhairy menjaringkan gol pada minit ke-48.
Semalam, Malaysia tewas 1-3 kepada pemenang perak Olimpik Paris, China dalam pertembungan separuh akhir.
Malaysia hanya pernah sekali meraih kedudukan podium iaitu pada edisi 2013 yang berlangsung di Kakamigahara, Japan, dengan membawa pulang gangsa.
ketua jurulatih kebangsaan Mohamed Nasihin Nubil Ibrahim percaya ACT merupakan batu loncatan untuk menguatkan lagi skuad tersebut.
"Pemain tidak bermula dengan baik pada suku pertama, telah menghukum kita dengan tiga jaringan awal. Namun pada suku ketiga dan keempat, pemain dapat menampilkan prestasi yang baik, setelah struktur dan posisi ditukarkan, malah dapat menjaringkan gol.
"Banyak lagi yang perlu diperbaiki terutamanya keyakinan, kekuatan fikizal dan teknikal. Ini kali pertama kita beraksi sebagai satu pasukan, dengan 10 pemain adalah yang berumur 21 tahun, jadi kita akan cari resepi untuk terus meningkat,” katanya dalam video yang dikongsikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!