Terengganu laksana hukuman sebat di khalayak ramai sebagai pengajaran - Exco
KUALA TERENGGANU - Hukuman sebatan di depan khalayak ramai yang akan dilaksanakan terhadap pesalah jenayah takzir sebagai pengajaran agar individu lain tidak mengulangi kesalahan sama.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelaksanaan hukuman itu merupakan perkembangan baharu di Terengganu memandangkan hukuman sebatan sebelum ini dilaksanakan di tempat tertutup.
"Hari ini Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail telah menjatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap Mohd Affendi Awang, 42, kerana kesalahan berkhalwat.
"Hukuman ini diputuskan kerana lelaki tersebut mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat yang berkuat kuasa 1 Januari lalu," katanya menerusi media sosial rasminya pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hukuman enam sebatan depan khalayak ramai di masjid oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu ke atas seorang lelaki kerana kesalahan khalwat berulang
Muhammad Khalil berkata, hukuman sebatan itu akan dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan.
Bagaimananpun, katanya, pelaksanaan hukuman itu bergantung terhadap rayuan pesalah sama ada akan dikemukakan atau sebaliknya.
“Hukuman ini adalah hukuman sebat namun yang agak luar biasa pada kali ini ialah hukuman sebat ini sebagaimana yang diputuskan oleh pihak hakim akan dijatuhkan hukuman di khalayak ramai.
“Ini satu perkembangan baharu kita di negeri Terengganu (kerana) sebelum daripada ini hukuman ini (sebatan) dilaksanakan di tempat yang tertutup (tetapi) kali ini kita telah putuskan untuk dilaksanakan di khalayak ramai kerana ia adalah bidang kuasa negeri di bawah Hakim Mahkamah Syariah,” katanya.
Menurut Muhammad Khalil, hukuman sebatan di khalayak ramai perlu dilakukan bagi menimbulkan kegerunan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tertentu.
Namun, katanya, ia bukanlah untuk semua pesalah sebaliknya hanya melibatkan kes-kes tertentu.
"Contohnya, yang melakukan kesalahan lebih dua kali, kalau hukuman sebat dalam penjara mungkin tidak cukup menyedarkan... jadi ada keperluan untuk laksanakan di khalayak ramai," katanya.
"Pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka itu memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) jika dilakukan di pasar-pasar awam.
"Jika dilakukan di masjid pula, sudah tentulah kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diperlukan untuk pelaksanaannya nanti," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang duda menjadi lelaki pertama di Terengganu dijatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, turut menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!