Nasib keluarga tinggal pondok usang diberi perhatian
POKOK SENA - Nasib sebuah keluarga yang menumpang di sebuah pondok usang yang tidak mempunyai bekalan elektrik di Kampung Belukar, Mukim Telaga Mas, dekat sini sejak tiga minggu lalu mendapat perhatian banyak pihak.
Lebih menggembirakan apabila Siti Sumaini Taib, 41, berkata, dia dan suami Zulhamri Abd Sali, 43, turut dikunjungi pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang menyemak kelayakan mereka bagi menduduki mana-mana perumahan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Siti Sumaini berkata, paling menjadi keutamaan adalah anak-anak mereka untuk tinggal di rumah lebih selesa dan selamat malah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak kerana prihatin dengan nasib keluarganya.
Menurutnya, dia dan suami sudahpun memberikan persetujuan untuk berpindah ke mana-mana rumah KEDA dan berharap segala urusan akan berjalan lancar.
"Alhamdulilah, dari petang semalam (kelmarin) hingga hari ini (semalam), ramai pihak yang datang membantu tidak kira daripada agensi kerajaan dan individu," katanya selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad yang menyampaikan sumbangan petang semalam.
Sementara itu Halimaton Shaadiah berkata, beliau yang mewakili Kerajaan Negeri Kedah hadir sendiri untuk melihat keadaan keluarga tersebut dan mendapatkan maklumat sebenar selepas kisah mereka tular dengan pelbagai versi di media sosial.
Menurutnya, beliau mengharapkan orang ramai agar menyelidik maklumat sebenar sebelum melemparkan tuduhan kononnya kerajaan tidak membantu adalah tidak benar kerana keluarga itu baru saja berpindah ke sini.
"Jangan tular dan mereka cerita tidak benar. Kita sudahpun mendapatkan maklumat sebenar berhubung keluarga ini dan kita akan melakukan usaha terbaik. Paling penting membantu dan menjaga kebajikan empat anaknya yang masih lagi bersekolah," katanya.
Tambah Halimaton Shaadiah, pelbagai pihak seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberikan bantuan awal dan pihaknya berharap Siti Sumaini akan cepat sembuh serta Zulhamri pula mampu berdikari mencari pendapatan sendiri.
Sinar Harian melaporkan kehidupan sebuah keluarga berubah apabila ketua keluarganya diberhentikan kerja kerana sering mengambil cuti untuk menguruskan isteri yang menghidap kencing manis kronik pada Oktober lalu.
Zulhamri yang bekerja sebagai buruh binaan di Selangor sebelum ini perlu memberikan perhatian penuh kepada Siti Sumaini kerana kedua-dua belah kakinya luka sehingga menyebabkan jangkitan kuman dan tidak mampu berjalan.
Disebabkan terputus sumber kewangan, Zulhamri dan isteri bersama empat anak mengambil keputusan untuk berpindah dan menumpang di pondok bapa saudaranya di Kampung Belukar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!