Tunjuk kejayaan, beri keyakinan kepada masyarakat pilih sekolah kebangsaan
SHAH ALAM - Sekolah kebangsaan (SK) disaran untuk menguar-uarkan kejayaan yang dicapai kepada umum bagi memperoleh keyakinan masyarakat mengenai kualiti dimiliki institusi pendidikan kerajaan itu.
Bekas Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik berkata, pencapaian tersebut melibatkan akademik, kurikulum dan sahsiah kemenjadian murid yang dicipta oleh barisan guru.
“Dalam hal ini, perlu tampilkan lebih banyak kejayaan. Promosikan apa yang mereka (guru-guru) lakukan supaya dapat tarik minat waris bangsa lain untuk hadir ke SK.
“Kalau ada banyak kejayaan, barulah ada orang yakin dengan kita. Kalau tiada kejayaan, memang orang tak yakin.
“Suka atau tidak, SK perlu tunjukkan kekuatan kerana saya nampak barangkali, ada sentimen dimainkan pihak tertentu sehingga ada yang takut ke SK,” katanya dalam Wacana Sinar edisi 466 bertajuk ‘Sekolah Kebangsaan bukan lagi pilihan utama?’ pada Rabu.
Program dihoskan Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa dan Pensyarah Universiti UCSI, Dr Othman Talib di semua platform Sinar Harian.
Jasni turut menangkis dakwaan berhubung infrastruktur usang seperti dimomokkan segelintir pihak menyebabkan kebanyakan ibu bapa lebih memilih untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Sekolah kita tak usang malah lebih baik daripada SJKC. Ada struktur yang hebat, sekolah dan bangunan pun baharu.
“Kerajaan sediakan 44 sekolah baharu untuk kurangkan pelajar di setiap kelas seperti yang dilakukan SJKC tak ramai murid. Jadi, murid belajar dalam keadaan selesa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!