SK perlu bersifat kebangsaan, tarik perhatian masyarakat
SHAH ALAM - Sekolah kebangsaan (SK) tiada tarikan untuk memikat orang ramai berbanding institusi persendirian dan antarabangsa.
Pensyarah Universiti UCSI, Dr Othman Talib berkata, SK itu sendiri perlu bersifat kebangsaan bagi menarik perhatian masyarakat negara ini.
"Kita hendak bagi banyak benda dan sifat SK mahu atau tidak ia perlu kebangsaan. Sekarang SK dilihat seperti menyerlahkan Islam, golongan bukan Islam berfikir ada sesuatu yang tidak kena. Kalau sekolah itu berjaya menaikkan Sains dan Matematik maka ia tidak timbul isu.
"Tapi ini Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris tidak bagus dan tambah lagi subjek yang menjadikan murid kita semakin tidak baik. Sepatutnya guru besar, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diberi kelonggaran menyerlahkan potensi sekolah tersendiri dalam aspek tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-466 Sekolah Kebangsaan bukan lagi pilihan utama? yang bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Antara panelis lain yang terlibat ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa dan Mantan Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) serta dihoskan oleh Ismail Adnan.
Tambahnya, beliau pernah mencadangkan subjek Pendidikan Islam tidak diwajibkan kepada murid Tahun Satu.
"Saya pernah cadangkan, Tahun Satu tidak perlu mata pelajaran Pendidikan Islam, bukan tolak Islam tapi boleh buat kelas untuk praktis sahaja seperti solat dan sebagainya.
"Buku pula mestilah dalam bahasa Malaysia. Sebab pemahaman lebih utama. Mungkin boleh sedikit bahasa Jawi tambahan untuk mereka belajar. Majoriti kebangsaan adalah mereka yang ingin mempelajari Islam, tapi jawi itu telah menjadikan semua," katanya.
Sementara itu, Othman berpendapat kerangka perjalanan SK negara ini disebut sebagai 'one size fit all' merupakan aspek yang lebih luas untuk difikikan.
Ujarnya, negara ini mempunyai lebih 10,000 sekolah, satu arahan daripada kementerian umpamanya untuk dijalankan oleh semua sekolah yang tidak setaraf kemudahan, kedudukan dan lokasi menyebabkan ia menimbulkan pelbagai masalah kepada guru.
"Saya percaya guru kita sangat kompiten jika disediakan situasi yang boleh menyebabkan mereka itu berusaha ke arah peningkatan apa sahaja, kementerian telah sediakan kepada saya pelbagai kursus yang diperlukan guru, namun apabila sampai ke sekolah, apa yang dipelajari itu tidak dapat dilaksanakan kerana pelbagi kekangan.
"Contoh paling jelas ialah penempatan 40 orang murid dalam satu kelas. Bila dikira-kira, kementerian mengumumkan hanya 13 peratus sahaja kelas yang melibatkan lebih 40 murid.
"Tetapi kalau kita darab dengan 13 peratus itu, ia menghampiri satu juta, itu jumlah murid duduk dalam satu kelas yang tidak kondusif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!