KPM ada kuasa tetap, pantau pembelajaran sekolah antarabangsa dan swasta
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai kuasa tetap untuk memantau setiap pembelajaran yang disediakan kepada murid sekolah antarabangsa atau swasta di negara ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa berkata, walaupun pusat pendidikan berkenaan mungkin mempunyai sukatan pelajaran yang berbeza, tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan aspirasi negara kerana dasar asasnya ditentukan oleh KPM.
Menurutnya, unit pendidikan swasta telah ditubuhkan bagi memantau silibus pembelajaran di sekolah antarabangsa, tadika, sekolah agama atau Cina sekali gus menyediakan pelesenan untuk semua institusi berkenaan.
“Saya tidak melihat bahawa kemunculan sekolah-sekolah ini bercanggah dengan aspirasi kerana mereka tidak mengajak atau ada sukatan pelajaran yang bertentangan dengan etika, budaya, agama dan dasar Kementerian.
“Mereka tetap mengajar perkara sama dan permit guru-gurunya juga dikeluarkan oleh Kementerian.
“Cuma mungkin KPM tiada kuasa mutlak di dalam organisasi itu tetapi kebenaran beroperasi tetap benar,” katanya dalam Wacana Sinar edisi 466 bertajuk ‘Sekolah Kebangsaan bukan lagi pilihan utama?’ pada Rabu.
Program dihoskan Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu
Mantan Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik dan Pensyarah Universiti UCSI, Dr Othman Talib di semua platform Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mustafa bersetuju dengan cadangan untuk memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil kepada murid di SK.
Menurutnya, ia bertujuan bagi memperkasakan bahasa-bahasa asing atau mengadaptasi bahasa lain.
“Kita juga tawarkan bahasa Arab di SK, kenapa tidak boleh tawarkan bahasa-bahasa lain seperti itu?
“Jadi, ia berkemungkinan pemilihan SK dalam kalangan pelajar lain boleh jadi lebih tinggi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!