Tiga beradik genggam ijazah serentak
SHAH ALAM - Berkat ajakan Mohd Asyraf Suhaimi, 22, mendaftar di Saito University College, dua abangnya, Mohd Safuan, 28, dan Mohd Firdaus, 28, turut mendapat peluang menyambung pelajaran.
Ibu tiga beradik itu, Puan Faeizah Mohd Tap memberi sokongan dan mereka terus mendaftar ketika wabak Covid-19 melanda negara pada tahun 2021.
Ketiga-tiga mereka berpakat untuk mengambil jurusan Penguatkuasaan Undang-undang (Penyiasatan) dan setelah tiga tahun berlalu, turut berkongsi pentas untuk menerima skrol sarjana muda masing-masing.
Ketika ditemui selepas upacara konvo, Mohd Asyraf berkata, mereka sentiasa bersama di dalam pembelajaran dan mengulang kaji pelajaran yang disertai rakan-rakan.
"Berkat doa ibu bapa dan tunjuk ajar dari pensyarah yang berdedikasi, kami berjaya di dalam mengejar impian untuk menggenggam ijazah," katanya.
Lebih menarik, ketiga-tiga adik beradik tersebut bertekad untuk menyertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan berharap impian berkenaan dapat menjadi kenyataan.
Ibu mereka yang juga tukang jahit menyediakan pakaian seragam sekeluarga ketika bersama-sama meraikan kejayaan anak-anak tersebut di hari konvokesyen baru-baru ini.
"Dahulunya, saya mempunyai sebuah butik tetapi terpaksa tutup kerana Covid-19," katanya.
Sementara itu, Dekan Eksekutif Saito University College, Profesor Madya Dr Zahar Ali berkata, institusi terbabit mempunyai hubungan baik dengan badan-badan penguatkuasaan di negara ini.
Katanya, baru-baru ini, Saito UC mendapat pengiktirafan sebagai rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sering bekerjasama di dalam aktiviti-aktiviti pencegahan jenayah.
Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor juga telah mengadakan pameran besar-besaran di Kampus Cheras pada awal tahun lalu yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!