Mampukah masalah diatasi bina tembok di Sungai Golok?

Sungai Golok selain sebagai laluan utama yang hanya berjarak beberapa meter antara Malaysia-Thailand, ia juga sumber pendapatan kepada penduduk di sini terutama bot tambang. (Gambar kecil: Nurul Fatiha, Nurul Hanisah, Muhammad Hakim, Ros Anis Nabila)
Sungai Golok selain sebagai laluan utama yang hanya berjarak beberapa meter antara Malaysia-Thailand, ia juga sumber pendapatan kepada penduduk di sini terutama bot tambang. (Gambar kecil: Nurul Fatiha, Nurul Hanisah, Muhammad Hakim, Ros Anis Nabila)
A
A
A

BARU-BARU ini Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah untuk membendung masalah penyeludupan serta aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.

Katanya, pembinaan tembok dari Jeli sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat itu melibatkan jarak 100 kilometer (km).

Tambah Mohamed Fadzli, pihak keselamatan yang menjaga sepanjang Sungai Golok juga tidak mampu untuk mengawal sepenuhnya disebabkan jarak dan bentuk muka bumi.

Selain itu, tembok tersebut turut berperanan sebagai tebatan banjir selain menyekat aktiviti rentas sempadan.

Bagaimanapun, orang ramai memberikan pelbagai reaksi mengenai pembinaan tembok di Sungai Golok itu.

Ada yang menyokong dan begitu juga sebaliknya, namun masing-masing mempunyai hujah serta pandangan tersendiri berhubung perkara tersebut.

Boleh kekang aktiviti jenayah, penyeludupan

Artikel Berkaitan:

Saya bersetuju dengan cadangan yang bakal dikemukakan oleh Mohamed Fadzli kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan tembok di sepanjang Sungai Golok itu.

Bagi saya, ia merupakan satu inisiatif terbaik untuk meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara, lebih-lebih lagi menerusi laluan tikus atau jalan haram.

Apabila ada tembok di sempadan, ia boleh mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang sentiasa berlaku seperti penyeludupan barang, dadah atau pun paling membimbangkan adalah pemerdagangan manusia.

Walaupun bagi sesetengah pihak, aktiviti rentas sempadan merupakan perkara biasa tetapi mereka tidak sedar sikap pandang enteng seperti inilah yang pada akhirnya akan menyebabkan jenayah semakin berleluasa.

Mengenai pembinaan tembok untuk tebatan banjir, bagi saya sekiranya cadangan itu memberi kebaikan seperti yang dirancang ia tidak akan menjadi masalah tetapi mungkin akan melibatkan kos yang tinggi.

Pada masa sama, tembok berkenaan juga boleh melindungi tanah pertanian dan infrastruktur penting di sepanjang sungai daripada kerosakan akibat banjir.

- Pekerja swasta, Nurul Fatihah Che Abd Halim, 25

Mudahkan pasukan keselamatan kawal sempadan

Saya setuju jika pembinaan tembok di Sungai Golok dilaksanakan kerana ia akan membantu pasukan keselamatan negara dalam mengatasi aktiviti menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram.

Jika kita mengharapkan pengawasan sahaja, tidak cukup kerana lokasi terlibat juga agak luas dan dengan jumlah anggota keselamatan yang ada belum mampu untuk awasi semua pergerakan di kawasan terlibat.

Pada masa sama, inisiatif itu turut membantu pasukan keselamatan untuk menjaga sempadan negara pada waktu malam kerana ketika itu mungkin ia menjadi sasaran penjenayah memulakan aktiviti haram.

Ini kerana individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut sudah pasti mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai selok-belok kawasan berkenaan serta ada taktik berbeza untuk bolos daripada pihak berkuasa.

Selain pembinaan tembok, usaha ini tetap memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Lebih-lebih lagi kepada warganegara Malaysia yang masih menggunakan laluan haram itu untuk menyeberangi sungai ke negara jiran kerana ia seolah-olah menggalakkan orang luar melakukan hal sama. Tindakan itu juga dibimbangi akan menimbulkan tanggapan bahawa kawalan keselamatan negara tidak ketat dan mudah diceroboh serta bebas untuk melakukan aktiviti penyeludupan.

- Pembantu akauntan, Nurul Hanisah Abu Muhsen, 24

Kos pembinaan, penyelenggaraan tinggi

Saya tidak bersetuju dengan cadangan untuk membina tembok di Sungai Golok kerana ia akan melibatkan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi untuk pastikan ia berfungsi dengan baik.

Ini kerana jika tidak diselenggara dengan baik, tembok berkenaan berkemungkinan boleh rosak dan menyebabkan masalah yang lebih besar.

Selain itu, binaan tersebut juga dibimbangi bakal meningkatkan risiko banjir di kawasan lain jika ia tidak dibina dengan teliti atau kurang tinggi.

Akibatnya, ia mungkin hanya memindahkan masalah banjir ke kawasan lain yang tidak dilindungi menyebabkan kesan buruk kepada komuniti terletak lebih jauh.

Bagi saya, untuk mengatasi masalah banjir menerusi pembinaan tembok berkenaan adalah tidak perlu kerana ia bukan jalan penyelesaian terbaik.

Antara langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan meningkatkan pengurusan sumber air dan saliran yang bersepadu.

Inisiatif tersebut boleh dilakukan menerusi peningkatan sistem saliran di sepanjang Sungai Golok termasuk pembinaan saluran air atau kolam takungan bagi menampung air hujan berlebihan sebelum ia mengalir ke sungai.

- Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Muhammad Hakim Zailani, 20

Belum tentu boleh kekang jenayah

Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana golongan atau kumpulan yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan ini mempunyai modus operandi berbeza.

Kegiatan ini sudah lama berlaku, kumpulan yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand sudah pasti mempunyai orang tengah yang tahu selok belok sekitar Sungai Golok.

Katakanlah sekiranya tembok ini dibina, mesti memerlukan tenaga kerja tentera untuk kawal sempadan lebih ketat kerana bimbang penjenayah mungkin bertindak lebih agresif.

Cadangan saya adalah supaya kerajaan melakukan pembinaan jambatan yang sah di sepanjang sungai dengan kawalan keselamatan ketat. Menerusi kaedah itu, satu kawasan ekonomi khas di sepanjang sempadan juga boleh dibangunkan tetapi perlu ada kawalan ketat bagi membolehkan aktiviti perdagangan berlaku secara sah dan teratur.

Selain itu, wujudkan pas sempadan khas bagi memudahkan anggota keselamatan mengenal pasti identiti warganegara sekali gus ia juga dapat menjimatkan masa dan wang daripada digunakan untuk membina tembok tersebut.

- Peniaga, Ros Anis Nabila Jamaluddin, 28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!