Masih ada masa untuk kerajaan perbaiki prestasi
PENGERUSI Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam sebuah forum memberikan markah D kepada Kerajaan Madani kerana gagal memenuhi semua agenda reformasi yang dijanjikan.
Bersih turut meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketinggalan di belakang pendahulunya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi.
Faisal berkata, wujud jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaannya dari aspek kemajuan, progres dan tindakan.
Menurutnya, penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - janji manifesto dan perbandingan dengan kerajaan terdahulu - menyaksikan kerajaan Madani hanya memperoleh markah 45.8 peratus.
Dari satu aspek, markah D adalah satu peningkatan walaupun sedikit. Ini kerana Bersih sebelum ini pernah memberikan markah F kepada Kerajaan Madani berhubung pelaksanaan reformasi pilihan raya.
Walaupun itu hanya pendapat Bersih, namun kerajaan tidak boleh memandang enteng. Penarafan D yang diberikan itu memperlihatkan sesuatu yang tidak kena dan boleh menimbulkan persepsi negatif pada mata rakyat.
Seperti kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, kerajaan berisiko mendapat gred lebih rendah jika suara rakyat diambil kira dalam penilaian pertengahan penggal selepas dua tahun mentadbir.
Ini kerana Kerajaan Perpaduan didakwa gagal menunaikan janji kepada rakyat terutama dalam menyelesaikan isu kos sara hidup yang melambung tinggi, penarikan subsidi diesel dan sebagainya.
Bagaimanapun masih belum terlambat untuk kerajaan merangka strategi bersesuaian supaya ia berhasil meningkatkan kecekapan dan pada masa sama aspirasi mewujudkan kesejahteraan bersama dapat dicapai.
Masih ada masa untuk melakukan perubahan yang signifikan kerana Kerajaan Madani mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terutamanya untuk membela nasib rakyat.
Dalam tempoh berbaki lebih kurang tiga tahun lagi, masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Segala masalah yang hendak diselesaikan itu sememangnya memerlukan masa untuk pulih terutamanya apabila berkaitan dengan ekonomi.
Justeru, prestasi Kerajaan Madani akan ditentukan sekali lagi oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!