Kembar yatim piatu berjaya genggam ijazah, nenek sumber inspirasi

Pasangan graduan kembar S Yamuna (kiri) dan S Yasodaa (kanan) bersama nenek mereka A. Lechumy sempena Konvokesyen UTM ke 68, di Skudai Johor Bahru pada Rabu.
Pasangan graduan kembar S Yamuna (kiri) dan S Yasodaa (kanan) bersama nenek mereka A. Lechumy sempena Konvokesyen UTM ke 68, di Skudai Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Di sebalik senyuman yang tidak lekang di wajah pasangan kembar S Yamuna dan S Yasoda, 23, siapa sangka perjalanan untuk menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan penuh berliku.

Pasangan kembar dari Dengkil, Selangor ini dibesarkan oleh datuk dan nenek sejak kecil selepas ayah meninggal dunia akibat kemalangan pada 2006 dan ibu pula pergi buat selamanya tiga tahun selepas itu akibat kanser paru-paru.

S Yamuna berkata, sekali lagi mereka diuji dengan kemalangan jalan raya pada tahun 2010 yang menyebabkan datuknya meninggal dunia.

Jelasnya, dia bersama kakak dan abang kemudiannya dibesarkan oleh nenek dan banyak bergantung dengan bapa saudara dan bantuan bulanan diberikan kerajaan serta pihak sekolah.

"Kehidupan kami sekeluarga agar sukar dan saya sedar dengan pelajaran sahaja mampu ubah keadaan kami. Saya dan pasangan kembar sentiasa bersama sejak sekolah rendah, menengah, kolej matrikulasi dan UTM.

‘’Nenek, A Letchumy, 70 merupakan sumber inspirasi dan motivasi terbesar kami untuk belajar bersungguh-sungguh. Nenek yang selalu beri motivasi jangan sesekali putus asa," katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68 di sini pada Rabu.

Pasangan kembar yang turut memperoleh Anugerah Dekan berkata, meskipun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan namun mereka tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian menjadi seorang akauntan.

Jelasnya, kejayaan itu merupakan hadiah terindah diberikan kepada neneknya yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia bersama adik kembarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami sentiasa menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain. Kami gemar belajar seawal jam 4 pagi dan kerap ulang kaji bersama.

"Segala yang kami capai merupakan usaha dan sokongan nenek, kakak dan abang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!