Mangsa buli siber berisiko sakit mental

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Dr Noor Aishah)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Dr Noor Aishah)
A
A
A

SHAH ALAM - Mangsa buli siber berdepan risiko gangguan mental, kesan daripada rasa trauma, gelisah dan kemurungan.

Pakar Psikologi, Dr Noor Aishah Rosli berkata, mangsa buli akan melalui kesan berangkai itu disebabkan terkesan dengan kata-kata pembuli yang mungkin berbaur fitnah atau membuka aibnya di khalayak umum.

Menurutnya, kesan trauma berkenaan akan berpanjangan sehingga mangsa menjadi takut dan malu untuk keluar rumah.

Kesan daripada itu katanya, mangsa akan berdepan dengan kegelisahan sehingga berfikir terlalu mendalam.

“Kemudian, ia akan membentuk tekanan jiwa kerana pembuli biasanya akan menghentam secara berterusan sehingga mereka berpuas hati.

“Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa kasar juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental bagi segelintir individu di media sosial,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 November lepas.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 10 kes sehari sebelum ini sekali gus menyaksikan kepentingan penguatkuasaan pelesenan media sosial dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Aishah menjelaskan, buli siber juga akan menjadikan mangsa hilang keyakinan diri seterusnya menjejaskan kehidupan sosialnya.

Ini kerana katanya, mangsa merasakan seolah-olah rahsia peribadi diketahui umum sekali gus mengundang serangan toksik daripada pembuli lain.

“Mangsa akan rasa tidak mahu dikenali orang lain. Malu yang teramat,” tambahnya.

Sehubungan itu, Noor Aishah menasihatkan pengguna agar memilih aplikasi media sosial yang sesuai demi menjaga emosi dan mental.

“Saya selalu pesan kepada pesakit saya, kalau hati tak kental, jangan ada media sosial,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!