Pakar saran pas khas komuniti sempadan

Pekan Golok (kiri) dan Rantau Panjang (kanan) hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang cetek. (Gambar kecil: Bakri Mat)
Pekan Golok (kiri) dan Rantau Panjang (kanan) hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang cetek. (Gambar kecil: Bakri Mat)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkenalkan pas khas untuk keperluan pendidikan, kesihatan, ekonomi atau perhubungan keluarga, untuk komuniti sempadan Sungai Golok, yang hanya boleh digunakan di laluan rasmi dengan waktu operasi tertentu.

Langkah tersebut sebagai alternatif pengurusan sempadan secara holistik bagi mengurangkan risiko keselamatan kerana elemen kawalan yang terlalu menekan dijangka boleh menimbulkan ketegangan sosial, seterusnya mengancam hubungan diplomatik Malaysia-Thailand bagi jangka masa panjang.

Pakar Kajian Keselamatan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Bakri Mat berkata, pengumpulan data biometrik bagi memastikan pengawasan yang ketat dan mencegah penyalahgunaan pas berkenaan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Menurutnya, pertimbangan tersebut penting kerana penutupan laluan secara menyeluruh berisiko mencetuskan ketidakpuasan hati penduduk setempat dan mendorong mereka mencari jalan alternatif yang tidak selamat seterusnya merumitkan lagi usaha pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan sempadan.

“Ketika ini pas sempadan untuk komuniti di sempadan sebenarnya sudah ada. Tetapi dalam isu yang membabitkan keperluan harian yang khusus, pas khusus seperti ini boleh digunakan di laluan rasmi dengan waktu operasi tertentu yang boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa di sempadan.

“Laluan lintas sempadan rasmi yang lebih mesra pengguna dengan pemeriksaan keselamatan yang cekap boleh dibangunkan untuk menyokong aktiviti sosial dan ekonomi. Ia mungkin sudah pun ada, tapi masih boleh ditambah baik untuk mempercepatkan proses.

“Ia penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada laluan haram sambil memastikan keselamatan sempadan dipertingkatkan.

“Kedua-dua negara juga boleh mengembangkan lagi zon sempadan khas untuk membolehkan hubungan tradisional dan ekonomi berlaku tanpa menjejaskan aspek keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Bakri berkata, pendekatan inklusif dan holistik adalah amat penting mengambil kira aktiviti rentas sempadan tidak dapat dielakkan kerana sudah menjadi identiti komuniti sempadan, selain faktor geografi di Sungai Golok, menjadikan usaha menutup pangkalan haram sebagai langkah mencabar.

Sehubungan itu katanya, keperluan untuk mengawal laluan keluar masuk tidak boleh dinafikan, sama ada yang sah atau yang haram, kerana risiko keselamatan, termasuk penyeludupan barangan, perdagangan manusia, dan jenayah rentas sempadan boleh berlaku.

“Pendekatan undang-undang memang diakui dilihat agak keras, tapi itulah instrumen yang menunjukkan sebuah negara berdaulat, dan mana-mana pihak harus menghormatinya. Pengabaian undang-undang, memperlihatkan seolah-olah negara ini tiada undang-undang, yang memberi persepsi negatif terhadap negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!