Kalaulah nyawa boleh dibeli

Baru-baru ini, pilu rasanya apabila mengenangkan nasib lima beradik yang hilang punca apabila ibu bapa mereka dilanggar oleh pemandu mabuk ketika berhenti di lampu isyarat di Pasir Gudang, Johor.
Baru-baru ini, pilu rasanya apabila mengenangkan nasib lima beradik yang hilang punca apabila ibu bapa mereka dilanggar oleh pemandu mabuk ketika berhenti di lampu isyarat di Pasir Gudang, Johor.
A
A
A

SABAN tahun, kita dikejutkan dengan berita kemalangan membabitkan pengaruh arak sehingga insan tidak berdosa kehilangan nyawa.

Lebih malang, mangsa kemalangan merupakan ayah atau ibu kepada anak-anak yang masih kecil, sekali gus membuatkan mereka hilang tempat bergantung dan berkasih sayang.

Baru-baru ini, pilu rasanya apabila mengenangkan nasib lima beradik yang hilang punca apabila ibu bapa mereka dilanggar oleh pemandu mabuk ketika berhenti di lampu isyarat di Pasir Gudang, Johor.

Dalam kejadian itu, pasangan Mohd Redzwan Mohd Udi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal Honda Vario maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza.

Mangsa meninggalkan zuriat yang masing-masing baru berusia 17 hingga tiga tahun termasuk seorang anak kurang upaya.

Satu lagi kes membabitkan penunggang motosikal yang dilanggar pemandu mabuk di Jalan Jeram, Masjid Tanah, Melaka. Insiden ini juga bikin ramai orang berang.

Sudahlah tiada lesen memandu, suspek pula dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Jika diteliti data kemalangan harian yang direkodkan di seluruh negara yang dikongsikan Polis Diraja Malaysia, pada hari Sabtu 16 November sahaja terdapat sebanyak 1,669 kes kemalangan dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 kes maut pada hari berkenaan, meningkat sebanyak empat kematian berbanding hari sebelumnya.

Statistik Kementerian Pengangkutan juga menunjukkan angka yang cukup membimbangkan apabila lebih 6,000 kematian direkodkan setiap tahun dengan purata satu nyawa terkorban setiap 80 minit.

Meski hanya 69 kes membabitkan pemandu mabuk direkodkan dan merupakan punca kematian paling rendah dari 2011 hingga 2021, namun kita tidak boleh memandang remeh isu ini.

Persoalannya, sampai bilakah pemandu di bawah pengaruh arak harus dibiarkan dengan hukuman yang masih belum setimpal?

Andai belum terkena pada batang hidung sendiri, bolehlah lagi berpeluk tubuh dan tidak ambil pusing. Namun, jika ahli keluarga sendiri sudah menjadi mangsa, barulah tahu tinggi rendahnya langit.

Justeru, jangan sekali-kali kita memandang remeh isu pemandu mabuk. Apatah lagi nyawa tidak boleh dibeli atau ditukar ganti.

Namun kita boleh menghalang pemandu mabuk daripada meragut lebih banyak nyawa orang. Syaratnya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Sudah banyak sebenarnya saranan yang dikemukakan oleh pihak prihatin untuk membendung masalah ini termasuklah memperketat undang-undang berkaitan supaya ramai takut untuk meneguk alkohol sebelum memandu.

Kerajaan juga harus memberi tumpuan signifikan terhadap pelaksanaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya untuk orang ramai.

Jika disabit di bawah Seksyen 45A(1), penalti bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau memandu dalam keadaan mabuk ialah hukuman penjara mandatori, denda minimum RM10,000, dan sekurang-kurangnya dua tahun penggantungan lesen memandu.

Pun begitu, jika menyebabkan kecederaan atau kematian, hukumannya lebih berat lagi iaitu penjara sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 tahun, denda minimum RM30,000 hingga RM50,000 dan 10 tahun penggantungan lesen memandu.

Cuma, kempen kesedaran janganlah menjadi usaha sekerat jalan. Bukan apa, manusia mudah alpa dan perlu diingatkan berkali-kali supaya lekat dalam hati.

Barangkali pengajaran yang berkesan boleh menyebabkan peminum arak sedar diri dan tidak mengulangi kesilapan sama.

Buat anak-anak atau mangsa kemalangan sama ada akibat pengaruh arak atau asbab lain, semoga nasib dan kebajikan mereka terus dijaga dengan baik.

Kepada ibu bapa kalau boleh, persiapkanlah hibah atau peninggalan harta bukan hutang demi kelangsungan hidup mereka nanti.

Sudah banyak kes kita dengar sebelum ini membabitkan kematian tanpa meninggalkan sejumlah wang sehingga mengakibatkan waris terpaksa menanggung beban.

Itu belum lagi dengan perangai ipar-duai atau keluarga mertua yang mata duitan. Mereka boleh berubah sikap 360 darjah gara-gara taasub mahu cepat kaya atas duit orang lain.

* Arziana Mohmad Azaman ialah Wartawan SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!