Pacu muay thai ke tahap tertinggi

Johari (kanan) memberi dorongan kepada Mohd Haikal untuk terus bekerja keras dan berjaya dalam muay thai. Foto Bernama
Johari (kanan) memberi dorongan kepada Mohd Haikal untuk terus bekerja keras dan berjaya dalam muay thai. Foto Bernama
A
A
A

SUKAN muay thai mempunyai potensi besar untuk membawa nama negara ke pentas yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meluahkan hasrat untuk berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memacu sukan berkenaan ke tahap terbaik.

Malah beliau percaya Malaysia mempunyai ramai petinju berbakat yang berpotensi bagi digilap untuk pergi lebih jauh dalam sukan itu.

“Insya-ALLAH, saya juga akan berbincang dengan KBS untuk bawa atlet-atlet kita (pergi peringkat antarabangsa),” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024 King of the Ring di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pertarungan tersebut petinju muda berusia 16 tahun, Mohd Haikal Salami menumbangkan Nong Ice Rodtang dari Thailand menerusi Technical Knockout (TKO) pada pusingan ketiga daripada lima.

Nong Ice merupakan adik kepada juara ONE Championship, Rodtang Jitmuangnon.

Menerusi kemenangan tersebut, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Sik, Kedah itu membawa pulang Tali Pinggang ICU/JPM dan Radio Era.

Artikel Berkaitan:

Johari yang turut menyaksikan pertembungan itu melahirkan rasa bangga di atas kejayaan Mohd Haikal.

Malah, beliau berharap petinju muda itu mampu menyinar seperti Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo Ghazali yang telah meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

“Dia (Mohd Haikal) bukan sahaja orang Kedah, tetapi mewakili Malaysia. Saya berbangga kerana dia bukan sahaja lawan dengan kekuatan, tetapi berlawan dengan menggunakan otak.

“Bersabar dan teruskan latihan, jangan rasa hebat masa masih panjang baru tingkatan empat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!