Budak tiga tahun maut: Kemalangan dipercayai berpunca pemandu treler 'microsleep'
MUAR - Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas kereta dinaiki lapan sekeluarga terbabit kemalangan dipercayai berpunca pemandu treler mengalami ‘microsleep’ (terlelap sejenak), di Kilometer 148.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Bukit Gambir, di sini, pada Rabu.
Kemalangan jam 2.40 petang membabitkan Proton Iswara yang dinaiki keluarga terbabit dengan treler dipandu lelaki berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan daripada orang awam pada jam 3.44 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit mengalami ‘microsleep’ menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan.
“Treler terbabit kemudian melanggar besi penghadang lebuh raya dan secara kebetulan, sebuah kereta dinaiki keluarga terbabit datang dari arah sama lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Raiz Mukhliz berkata, pemandu treler terbabit hanya cedera ringan kemudian ditahan untuk membantu siasatan.
"Lelaki itu akan direman di Mahkamah Majistret Muar esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!