Nombor plat NEE 9 terima bidaan tertinggi RM266,666
SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil sebanyak RM4,578,075 menerusi bidaan Nombor Pendaftaran JPJ Negeri Sembilan Siri NEE.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan bermula 15 November lalu dan berakhir pada Selasa dengan NEE 9 menjadi nombor pendaftaran yang dibida harga paling tinggi, iaitu RM266,666.
"NEE 8 pula berada di tempat kedua tertinggi dengan harga RM188,123. Selanjutnya, NEE 3 dengan nilai RM158,999, NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 (RM141,600).
"Siri NEE mendapat sambutan yang amat baik daripada pembida-pembida dengan jumlah penyertaan keseluruhan pembida seramai 4,661 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, seramai 1,936 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
"Siri ini juga merupakan bidaan yang tertinggi dalam sejarah JPJ Negeri Sembilan.
"Lima nombor yang paling banyak dibida ialah NEE 554 seramai 19 pembida, NEE 288 seramai 16 pembida, NEE 244 seramai 15 pembida, diikuti dengan NEE 26 seramai 15 pembida dan seterusnya NEE 98 sebanyak 15 pembida.
"JPJ juga ingin mengucapkan tahniah kepada para pembida yang telah berjaya menerima keputusan rasmi pada semalam," katanya.
Tambahnya, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pembida yang telah menyertai bidaan ini bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!