Kejayaan PPPM: Kadar keciciran menurun, enrolmen TVET meningkat

KPM komited dalam menangani isu keciciran pelajar dengan melaksanakan pelbagai intervensi bagi memastikan mereka kembali ke sekolah. Gambar hiasan
KPM komited dalam menangani isu keciciran pelajar dengan melaksanakan pelbagai intervensi bagi memastikan mereka kembali ke sekolah. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar keciciran murid sekolah menengah yang menurun secara konsisten dan peningkatan peratus enrolmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2019 adalah antara hasil kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) setakat ini, yang bertujuan meningkatkan akses, kualiti dan kecekapan pendidikan di Malaysia.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pada 2019, data keciciran murid sekolah menengah mencatatkan sebanyak 1.14 peratus dan menurun kepada 1.13 peratus pada 2020, 2021 (1.11 peratus), 2022 (0.99 peratus) dan 0.83 peratus pada 2023.

Azman Adnan. Foto Bernama
Azman Adnan. Foto Bernama

"Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menangani isu keciciran pelajar dengan melaksanakan pelbagai intervensi bagi memastikan mereka kembali ke sekolah. Pada tahun 2023, Program Outreach Murid Cicir berjaya mengembalikan seramai 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 pelajar sekolah menengah ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas baru-baru ini yang turut menyentuh mengenai signifikan dan kejayaan PPPM serta reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Berdasarkan statistik KPM, katanya, kadar penyertaan murid sekolah rendah pada tahun 2023 adalah 99.11 peratus dan ia menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 0.89 peratus kanak-kanak yang masih belum mendapatkan akses pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Menurut Azman, KPM juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik minat murid menceburi program kemahiran yang ditawarkan di Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT), dan aliran kemahiran di sekolah menengah harian.

Hasilnya, kadar kebolehpasaran pelajar program TVET di KV mencapai 99.38 peratus pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif tersebut termasuk jerayawara KV dan SMT sepanjang Karnival Madani berlangsung, program peluasan Sistem Latihan Dual Nasional, serta kerjasama dengan pemain industri seperti Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), dan Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA).

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat dengan 10 persatuan industri, dan mereka komited untuk bekerjasama dengan KPM, khususnya dalam bidang TVET dan pasca latihan TVET.

"Dengan gabungan persatuan ini, diharapkan kualiti latihan dapat ditingkatkan, sekali gus membuka peluang kepada anak-anak kita untuk memasuki industri (alam pekerjaan) setelah tamat latihan di KV,” katanya.

Katanya, struktur Kurikulum Standard Kolej Vokasional terbahagi kepada 70 peratus amali dan 30 peratus teori, yang menunjukkan keutamaan diberikan kepada aspek kemahiran praktikal (hands-on).

Menurut Laporan Tahunan PPPM 2023, enrolmen aliran TVET meningkat dari 4.60 peratus pada 2019 kepada 6.11 peratus pada 2020, diikuti 6.30 peratus (2021), 6.66 peratus (2022) dan 10.51 peratus pada 2023.

Untuk kekal terkini dengan trend industri, KPM turut merancang untuk menawarkan program baharu dan berimpak tinggi dalam bidang seperti kecerdasan buatan, teknologi automotif kenderaan elektrik, dan teknologi hidrogen.

Mengenai akses kepada pendidikan peringkat prasekolah, Azman berkata, antara usaha awal yang dilaksanakan adalah melalui peluasan kelas prasekolah, dan sehingga Ogos 2024, terdapat 134 kelas prasekolah di seluruh negara.

Katanya, usaha peluasan pendidikan prasekolah di institusi selain sekolah rendah melibatkan lima kelas di sekolah menengah, enam di Kolej Vokasional (KV), dan 25 kelas prasekolah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

"Ini terutama untuk membantu membimbing anak-anak kecil daripada golongan B40 agar mereka dapat mengikuti pendidikan asas sebelum memasuki peringkat rendah dan seterusnya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pelan pemulihan untuk membimbing murid yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional yang dirangka KPM sebelum ini, Azman berkata, KPM akan terus meneliti peluang untuk meluaskan pembangunan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9).

K9 merupakan sekolah yang menawarkan pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga.

Matlamat kewujudan K9 adalah untuk menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas akibat faktor lokasi sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar, dan keadaan sosioekonomi keluarga.

"KPM sedang memperluaskan konsep K9 kepada Sekolah Model Khas K11, yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

"Selain itu, konsep Sekolah Model Khas K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan Tiga ke Tingkatan Empat atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas,” katanya.

Azman berkata, buat masa ini terdapat 28 sekolah K9 dan dua sekolah K11.

Sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau, khas untuk murid Orang Asli di kawasan tersebut, serta di SK Long Bedian, Baram, Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!