Paras air Sungai Semerak catat bacaan peringkat amaran
KOTA BHARU - Bacaan paras Sungai Semerak di Pasir Puteh dicatatkan berada pada paras amaran setinggi 2.47 meter sehingga 8 pagi ini, berbanding paras normal 0.40 meter.
Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my Sungai Golok di Pasir Mas pula berada pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 7.19 berbanding paras normal 5.0 meter.
Sementara itu, semua sungai lain di negeri ini dicatatkan berada pada paras normal.
Semalam Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dilapor meramalkan kira-kira 20 buah kampung yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Pasir Mas dijangka mengalami banjir bermula Jumaat ini.
Menurut PRABN banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!