Johor bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.999 bilion

Onn Hafiz (tengah) menunjukkan Buku Belanjawan Johor 2025 Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Khamis.
Onn Hafiz (tengah) menunjukkan Buku Belanjawan Johor 2025 Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor pada Khamis membentangkan Belanjawan Johor 2025 berjumlah RM1.999 bilion.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Belanjawan 2025 meningkat berbanding RM1.799 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024.

Menurut beliau, belanjawan kali ini juga mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion, pertama kalinya negeri merekodkan hasil melebihi RM2 bilion.

Selain itu, Johor turut mencatatkan belanjawan lebihan RM5.12 juta, untuk tiga tahun berturut-turut.

"Bagi tahun 2025, sukacita saya maklumkan bahawa unjuran hasil negeri adalah RM2.005 bilion iaitu peningkatan RM201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024.

"Unjuran perbelanjaan pada tahun 2025 pula adalah RM1.999 bilion. Angka-angka ini menunjukkan bahawa Belanjawan Johor 2025 merupakan Belanjawan Surplus dengan sebanyak RM 5.12 juta.

"Sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus manakala sejumlah RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Kota Iskandar, pada Khamis.

Belanjawan Johor 2025 kali ini berpegang kepada enam teras Agenda Maju Johor membabitkan pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur, dan usaha memperkukuh keagamaan serta masa depan belia yang berdaya saing dengan 244 inisiatif.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, dalam tempoh dua tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 billion dan menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.

"Pada September lalu, kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pakej Insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) yang berpangkalan di Forest City

"Menjelang hujung tahun ini pula, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana," ujarnya.

Tambah Onn Hafiz, ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi mencatatkan perkembangan sebanyak 4.1 peratus pada 2023.

"Angka itu melepasi paras pertumbuhan nasional 3.6 peratus dengan nilai Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM148.2 bilion pada 2023, berbanding KDNK RM142.4 bilion pada 2022," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!