Kerajaan Sabah diminta lebih telus beri penjelasan kepada rakyat - Shafie Apdal
KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kerajaan negeri lebih telus dalam memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pelbagai isu dibangkitkannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Beliau berkata, ini termasuk melibatkan isu perlesenan mineral supaya tidak wujud persepsi dari luar berhubung dakwaan tersebut.
"Pertama berhubung kait mineral yang dibangkitkan perlu ada transparensi, kita tidak mahu ada persepsi di luar sana walaupun faham ia masih dalam siasatan pihak berwajib.
"Kita tidak ingin ia berlanjutan seakan-akan masyarakat dalam keadaan tidak tahu menahu mengenai perkara berhubung kait mineral dan siapa pemilik lesennya.
"Saya minta penjelasan walaupun tidak tuduh perkara ini," katanya ketika sidang akhbar di DUN Sabah pada malam Rabu.
Katanya lagi, dalam video tersebut juga bukan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebaliknya ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ia harus diperjelaskan.
"Saya nampak tidak adapun penafian yang diberikan sehingga dapat dijelaskan secara seterang mungkin untuk membolehkan rakyat faham dan tahu tentang perkara ini," katanya.
Beliau yang juga ADUN Senallang turut membangkitkan isu perbelanjaan dapat diperjelaskan secara telus menerusi belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap semua isu yang dibangkitkan dapat diperjelaskan lebih terperinci termasuk dimaklumkan dalam persidangan DUN Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!