Terima kasih Sabah FC - Kim Swee

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan meninggalkan pasukan itu apabila tempoh perkhidmatannya tamat bulan ini.

Menurut Kim Swee, beliau berterima kasih dengan peluang diberikan Sabah dan menyifatkan tempoh 36 bulan bersama pasukan merupakan satu perjalanan luar biasa dalam karier kejurulatihannya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas kepercayaan dan sokongan penuh sepanjang saya berada di sini.

"Kepada para pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan. Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa. Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya.

"Kepada pegawai sokongan, penghargaan yang tinggi saya berikan atas usaha tanpa henti dan komitmen anda di belakang tabir. Kepakaran dan semangat anda adalah tunjang kepada segala pencapaian kita selama ini.

"Akhir sekali, kepada penyokong, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang mendalam. Anda adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang," katanya dalam satu kenyataan.

Tugasan terakhir Kim Swee adalah perlawanan menentang PT Athletic dalam saingan Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Beliau berkata, akan tetap menjadi penyokong setia Rhinos walaupun sudah tidak mengendalikan pasukan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan. Terima kasih atas segalanya," katanya.

Sebelum ini, Sabah mengumumkan akan melanjutkan kontrak Kim Swee sehingga April tahun depan susulan prestasi memberangsangkan bekas pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu.

Tidak diketahui kemana hala tuju pengendali berusia 53 tahun itu yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super selain kembali menjawat jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!