Johor pertimbang sektor awam kerja empat hari setengah seminggu

Onn Hafiz (tengah) ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis.
Onn Hafiz (tengah) ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor sedang mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada empat hari setengah seminggu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, cadangan itu susulan pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri ini kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.

"Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.

"Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.

Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, ia termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara atas talian atau online.

"Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat di antara jam 1tengah hari sehingga 2 petang.

Artikel Berkaitan:

"Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan," jelasnya.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis adalah bermula jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!