Indeks Kebebasan Media: Perlu perbaiki kedudukan, namun jangan sentuh isu 3R
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Terdapat keperluan untuk memperbaiki pengiktirafan antarabangsa terhadap kebebasan media di negara ini.
Mengakui perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun wujud sedikit keterbatasan susulan terikat dengan isu 3R (raja, kaum dan agama) ekoran Raja-raja Melayu meminta kerajaan lebih bertegas dalam menanganinya.
"Sementara kita izinkan orang bersuara, sidang Raja-raja Melayu sangat tegas dalam hal ini. Kita juga terikat dengan pandangan Raja-raja yang tidak mahu sebarang kecaman dilakukan di khalayak tanpa tindakan.
"Kalau kecaman terhadap saya berbakul-bakul, tiada tindakan. Tetapi jika ada laporan polis, polis akan uruskan. Saya terima teguran dari Pendang, memang ada keperluan untuk memperbaiki persepsi ini, tetapi kita ada keterbatasan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung kedudukan Malaysia yang jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024, sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.
Sementara itu, Anwar memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diumum sebagai Pengerusi Akademi Antirasuah Antarabangsa.
Menurut beliau, ia selepas Malaysia meraih undi tertinggi dalam undian di United Nations Commission on International Trade Law untuk 2025-2031, sekali gus membuktikan peranan negara dalam membanteras isu rasuah nasional di angkat di peringkat antarabangsa.
"Hubungan antara meningkat sebenarnya membantu, umpama berita terkini dalam pertandingan United Nations Commission on International Trade Law untuk tahun 2025-2031, Malaysia mendapat undi tertinggi 179 daripada 183. Ini rekod yang belum pernah dicapai sejak merdeka.
"Dalam Akademi Antirasuah Antarabangsa yang dianggotai oleh 85 negara, ia mengiktiraf peranan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Maka Malaysia sudah diberikan dukungan untuk menjadi ketua Akademi Antirasuah Antarabangsa dan Azalina akan mempengerusikan badan antarabangsa berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!