Hospital Seri Iskandar mula beroperasi bulan depan
PARIT - Hospital Seri Iskandar (HSI) yang dibina dengan kos RM153.18 juta akan memulakan operasi pada 11 Disember depan selepas berjaya disiapkan dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengoperasian hospital berkenaan melibatkan 516 perjawatan baharu yang telah diluluskan meliputi 22 orang pegawai perubatan, 97 orang penolong pegawai perubatan, jururawat (137 orang) dan skim perkhidmatan yang lain (260 orang).
"HSI dibangunkan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan peralatan yang lebih baik, berkualiti dan selesa kepada penduduk Seri Iskandar serta kawasan sekitar.
"Hospital ini akan meneruskan peranan Hospital Changkat Melintang (HCM) sebagai Non-Lead Hospital yang mana perkhidmatan kepakaran disalurkan dari Hospital Seri Manjung (HSM) sebagai Lead Hospital.
"Melalui pendekatan ini, Hospital Seri Iskandar akan mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran secara kluster," katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Projek Hospital Seri Iskandar dan Blok Tambahan HSM di HSI di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dr Dzulkefly berkata, bagi mengoptimumkan hospital baharu, KKM merancang untuk meningkatkan kekerapan lawatan pakar dalam semua bidang perubatan.
Namun katanya, ia perlu mengimbangi keperluan perkhidmatan dan permintaan antara HSM dan HSI agar perkhidmatan di hospital utama tidak terjejas.
Beliau berkata, antara perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran yang disediakan melalui lawatan berkala termasuklah Perubatan Kecemasan, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Psikiatri, Ortopedik, Obstetrik & Ginekologi serta Radiologi.
Sementara itu, beliau menegaskan HCM akan terus beroperasi sebagai step-down ward dan Kementerian Kesihatan kini dalam proses untuk menilai potensi hospital ini untuk dijadikan pusat hemodialisis, terutamanya bagi pesakit-pesakit yang berhampiran.
Bagi pembinaan blok tambahan Hospital Seri Manjung, Dzulkefly berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM75 juta itu telah siap dibina pada 27 Ogos lalu.
Menurutnya, blok tambahan itu mengandungi dua bangunan baharu iaitu satu bangunan empat tingkat dengan pelbagai fasiliti dan satu bangunan setingkat menempatkan wad psikiatri.
"Blok tambahan empat tingkat ini menyediakan klinik pakar dengan 22 Consultation and Examination Room (CE) untuk Perkhidmatan Kepakaran ENT, Bedah Mulut Maksilofasial dan Pergigian Pediatrik.
"Perkhidmatan ini akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan.
"Selain itu, dengan adanya wad psikiatri yang baharu di HSM, rujukan pesakit ke Hospital Bahagia Ulu Kinta akan dapat dikurangkan. Insya-ALLAH, bangunan tambahan ini dijadualkan mula beroperasi pada 13 Januari 2025 dengan mengambil kira tempoh bagi melengkapkan aset dan kelengkapan perubatan.
Beliau percaya, dengan adanya blok tambahan itu akan membolehkan HSM dapat memenuhi keperluan kesihatan penduduk Manjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!