2,207 individu bekerja sendiri carum Perkeso di Kedah

Zamri (tiga dari kanan) menyerahkan cek faedah pengurusan mayat kepada balu pencarum Perkeso, Manesh Zakaria di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah hari ini.
Zamri (tiga dari kanan) menyerahkan cek faedah pengurusan mayat kepada balu pencarum Perkeso, Manesh Zakaria di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 2,207 orang yang bekerja sendiri mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di Kedah sejak diperluas kepada 19 sektor pada 1 Januari lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, Shaharuddin Waled berkata, sebelum ini SKSPS hanya diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang seperti pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

"Daripada 2,207 orang itu seramai 1,610 mendaftar melalui pejabat Perkeso iaitu 557 orang di Alor Setar, 451 di Sungai Petani, 374 di Langkawi dan 228 di Kulim manakala selebihnya melalui dalam talian.

"Antara sektor terlibat SKSPS adalah pengangkutan barang dan makanan, pertanian, penternakan, perhutanan, pembuatan, pembinaan, penjaja dan perniagaan dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Roadshow Perluasan SKSPS dan Majlis Penyampaian Faedah Perkeso di Wisma Perkeso Alor Setar, Jalan Teluk Wanjah di sini hari ini.

Shaharuddin berkata, pihaknya yakin bilangan orang bekerja sendiri yang mencarum dengan Perkeso akan bertambah melalui usaha dilakukan.

"Individu yang bekerja sendiri kini boleh mencarum SKSPS dengan bayaran serendah 43 sen sehari.

"Sebenarnya, ada sebilangan mungkin tidak sedar mereka layak mencarum dengan Perkeso, misalnya orang mengambil upah menabur baja dan menyembur racun juga boleh mencarum di bawah skim ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelbagai manfaat boleh dinikmati individu bekerja sendiri yang membuat caruman termasuklah diberikan latihan vokasional untuk menambah kemahiran.

"Di bawah skim ini, faedah tunai disediakan untuk orang berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional," katanya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Zamri Yusuf berkata, pihaknya mendapati caruman yang perlu dilakukan individu bekerja sendiri hanya sekitar satu peratus.

Beliau berkata, individu terbabit juga berpeluang memilih empat jenis caruman berdasarkan kemampuan mereka melalui bayaran bulanan dan tahunan di bawah SKSPS.

"Antaranya, bayaran caruman RM13.10 sebulan dengan bayaran caruman setahun RM157.20 untuk pelan 1 sehinggalah bayaran caruman bulanan RM49.40 dengan bayaran caruman setahun RM592.80 untuk pelan 4," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!