Veto AS satu lagi contoh kekurangan konsensus yang dikesali mengenai Gaza - PBB
WASHINGTON - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu melahirkan rasa kesal atas tindakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap draf resolusi yang menuntut gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Ini adalah satu lagi contoh kekurangan konsensus yang dikesali yang telah kita lihat dalam Majlis Keselamatan antara negara anggota dan secara terus terang, kekurangan pelaksanaan resolusi sebelum ini mengenai Gaza,” kata jurucakap Stephane Dujarric kepada pemberita.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kekal komited untuk menyokong usaha menamatkan konflik, mencapai pembebasan tanpa syarat semua tawanan, dan memajukan pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Kenyataan Dujarric itu dibuat selepas AS sekali lagi menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata di Gaza.
Resolusi yang ditolak pada Rabu itu menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal, serta menolak sebarang usaha untuk menindas rakyat Palestin melalui kebuluran.
AS sebelum ini telah memveto tiga draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza - pada Oktober 2023, Disember 2023 dan Februari - selain berkecuali dalam undian terhadap draf resolusi lain.
Serangan Israel secara berterusan ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah membunuh hampir 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Tahun kedua genosid di Gaza itu telah menarik perhatian antarabangsa, dengan tokoh dan institusi melabel tindakan Israel sebagai usaha yang disengajakan untuk memusnahkan populasi. - Bernama-AA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!