[VIDEO] Empat sekawan mengaku tidak bersalah rogol pelajar sekolah
BALIK PULAU - Empat sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah Tingkatan Dua di sebuah rumah pada 10 November lalu.
Mohammad Syaril Mohamad Roni, 24, Muhammad Syamir Sahimi, 20, Muhammad Shazwan Akmal Dzulkifli, 20, dan Mohd Adam Zulkifli, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad.
Mohammad Syaril, Muhammad Syamir dan Mohd Adam berasal dari Kedah manakala Muhammad Shazwan dari Kelantan tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka dituduh merogol seorang remaja perempuan yang berusia 13 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 2 hingga 5 pagi pada 10 November lalu.
Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan namun mohon dibicarakan.
Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong di atas alasan kesemua tertuduh sudah berusia melebihi 16 tahun.
"Tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua tertuduh berikutan tiada keistimewaan untuk mereka memandangkan mereka berusia melebihi 16 tahun selain mereka tiada masalah kesihatan.
"Selain itu, kes ini adalah kes yang sangat serius kerana melibatkan remaja bawah umur selain hukuman yang dikenakan (jika sabit kesalahan) boleh dikenakan sebat," katanya.
Ahzal Fariz kemudiannya membenarkan tawaran Jin Hong dengan tidak memberi jaminan kepada keempat-empat tertuduh.
Kes ditangguhkan sehingga 7 Januari untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang pelajar sekolah secara bergilir-gilir di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 2 pagi, 10 November lalu.
Menurut polis, mangsa dibawa keluar oleh kawan lelakinya untuk bersiar-siar di Relau pada jam 12.30 tengah malam.
Siasatan awal polis mendapati, mangsa mengenali rakan lelakinya itu selepas diperkenalkan oleh rakan yang lain pada April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!