Empat maut nahas: Hasrat Nizasuhana mahu jumpa ibu tak kesampaian

Kereta Perodua Viva yang dinaiki empat penumpang maut selepas kenderaan itu terbabas berhampiran IOI Putrajaya pada awal pagi Khamis. Foto PDRM
Kereta Perodua Viva yang dinaiki empat penumpang maut selepas kenderaan itu terbabas berhampiran IOI Putrajaya pada awal pagi Khamis. Foto PDRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasrat seorang wanita untuk bertemu ibunya selepas habis waktu kerja syif tidak kesampaian apabila terlibat dalam satu kemalangan maut berhampiran IOI Putrajaya, di sini pada Khamis.

Abang mangsa, Azri Azim Ujang, 33, berkata, adiknya Nizasuhana yang berusia 28 tahun ada menghubungi ibu mereka pada malam Selasa.

Katanya, Nizasuhana bekerja sebagai jurutol di sebuah syarikat lebuh raya di Cheras dan tidak tinggal bersama keluarga di Balakong, Selangor.

Menurutnya, adiknya itu sering balik ke Balakong, namun tidak tinggal bersama kerana syarikat tempatnya bekerja menyediakan hostel.

Kereta Perodua Viva yang dinaiki empat mangsa maut selepas kenderaan itu terbabas berhampiran IOI Putrajaya pada awal pagi Khamis. Foto PDRM
Kereta Perodua Viva yang dinaiki empat mangsa maut selepas kenderaan itu terbabas berhampiran IOI Putrajaya pada awal pagi Khamis. Foto PDRM

"Saya tidak pasti adik (Nizasuhana) hendak ke mana pada hari kejadian tersebut (Khamis).

"Kami sekeluarga tidak mengenali tiga mangsa lain yang bersama adik dalam kemalangan itu.

"Adik saya masih belum berkahwin dan tinggal di hostel yang disediakan oleh majikannya," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan empat maut dalam satu kejadian kemalangan berhampiran IOI Putrajaya awal pagi Khamis.

Kesemua mangsa maut selepas kenderaan yang dinaiki jenis Perodua Viva terbabas.

Azri berkata, dia hanya mengetahui adiknya meninggal dunia jam 7.30 pagi ini (Khamis).

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh seorang ibu saudara apabila polis pergi ke rumah makciknya itu bagi memaklumkan kejadian.

Sementara itu, ibu mangsa, Lina Harun, 60, berkata, anaknya itu ada menyatakan ingin pulang dan bertemu dengannya dalam masa sehari dua lagi.

Menurutnya, Nizasuhana ada menghubunginya pada malam Selasa dan memberitahu akan pulang ke rumah di Balakong.

"Saya suruh dia (Nizasuhana) pulang ke rumah dan dia kata hendak balik esok atau lusa.

"Nizasuhana selalu pulang ke rumah walaupun tinggal di hostel yang disediakan oleh majikannya.

"Kalau masuk kerja syif pagi, petang dia akan ke rumah dan kalau kerja malam, dia akan ke rumah pagi," ujarnya sedih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!