Langgar lampu isyarat merah di Muar: 6 lelaki ditahan bantu siasatan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai enam lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes sebuah pacuan empat roda yang lolos semasa dikejar dari Muar ke Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar Damansara di Kuala Lumpur pada jam 7 pagi Khamis.

“Dua pacuan empat roda turut ditahan dan satu daripadanya digunakan untuk melarikan diri semasa dikejar pihak polis.

“Siasatan mendapati kedua-dua pacuan empat roda itu disewa. Selain itu kita turut menemukan beberapa peralatan mencuri kabel dalam salah satu kenderaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor daripada Deputi Komisioner Afandi Senin kepada Senior Asisten Komisioner Nor Azizi Maarof di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Khamis.

Kumar (tengah) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor daripada Afandi (kiri) kepada Nor Azizi di IPK Johor pada Khamis.
Kumar (tengah) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor daripada Afandi (kiri) kepada Nor Azizi di IPK Johor pada Khamis.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu berdasarkan siasatan mendapati, semasa dikejar polis, kenderaan berkenaan melarikan diri dari Muar sebelum melanggar penghadang tol di Jasin.

"Kemudian kenderaan berkenaan keluar di Tol Sungai Besi sebelum tiba di Jalan Chan Sow Lin dan melanggar pembahagi jalan sebelum berjaya melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis masih menyiasat berapa ramai yang berada dalam pacuan empat roda tersebut termasuk motif mereka melarikan diri dan sama ada semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, polis dilaporkan memburu pemandu sebuah sebuah pacuan empat roda selepas melanggar lampu isyarat merah di Jalan Bakri pada jam 2.45 pagi, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, secara kebetulan sebuah kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar terserempak kenderaan terbabit lalu memintanya berhenti untuk pemeriksaan.

Namun pemandunya terus memecut kenderaannya dan melarikan diri sebelum pasukan peronda terbabit mengejarnya dibantu Polis Kontinjen Melaka serta Bukit Aman dan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Kenderaan berkenaan melarikan diri dari Muar sehingga ke Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur sejauh 180 kilometer sebelum berjaya meloloskan diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!