Anwar nafi ada usaha sekat siasatan rasuah babitkan ADUN Sabah
KUALA LUMPUR – Tiada sebarang usaha menyekat siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan kes rasuah yang sedang berjalan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kesungguhan kerajaan memerangi rasuah dilaksanakan secara adil dan tidak akan melindungi sesiapa walaupun golongan kenamaan.
"Soal rasuah, memang langkah-langkah itu tegas dan saya tahu tidak mudah kerana sukar untuk memeranginya apabila melibatkan golongan mahakaya kerana ramai penyokong-penyokong mereka.
"Saya sudah diberi maklum oleh SPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu berbangkit terutama terakhir di Sabah. Siasatan sedang diteruskan dan ADUN berkaitan telah dipanggil tetapi, setakat itu sahaja saya boleh beri makluman.
"Tidak benar sama sekali kalau dikatakan ada usaha mengekang atau menyekat (siasatan),” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai usaha yang diambil kerajaan untuk memerangi rasuah di negara ini.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM memanggil lima ADUN Sabah bagi siasatan melibatkan dakwaan rasuah perolehan projek mineral di negeri itu.
Agensi itu memaklumkan, setakat ini lima ADUN telah dirakam percakapan dan siasatan masih berjalan.
Sementara itu Anwar menegaskan, usaha Malaysia dalam membanteras rasuah semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, pengiktirafan tersebut dapat dilihat apabila kerajaan Qatar meminta kerjasama SPRM untuk merangka program antirasuah bagi negara-negara Islam.
“Imej kita dalam usaha membanteras rasuah kini semakin dipandang tinggi, bukan sahaja berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah, tetapi juga melalui pengiktirafan dari negara-negara lain.
"Minggu depan, Qatar telah meminta rombongan utama (melibatkan) menteri dan SPRM untuk merangka kerjasama program membanteras rasuah di negara-negara Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!