Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Kelantan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 seorang kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemberian tersebut akan disalurkan pada Februari tahun depan dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.97 juta.
“Bantuan ini sebagai menghargai jasa dan bakti pegawai serta kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dalam membangunkan negeri.
“Sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 seorang kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak selain akan dipanjangkan juga kepada lantikan-lantikan politik dengan jumlahnya akan ditentukan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Pada pembentangan sama, Mohd Nassuruddin juga mengumumkan kenaikan elaun penarik-penarik beca dari RM100 kepada RM500 bermula Januari tahun depan.
“Elaun-elaun diberikan kepada 17 penarik beca yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.
“Kenaikan elaun ini bagi memastikan beca yang juga merupakan pengangkutan tradisional dan ikon pelancongan negeri Kelantan tidak terpinggir,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu pihaknya turut adil dan prihatin terhadap kebajikan rakyat dengan memberikan diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah kepada seluruh rakyat negeri Kelantan.
“Tempoh tawaran diskaun ini akan dapat dinikmati oleh rakyat Kelantan bagi tempoh sebulan bermula 1 Disember hingga 30 Disember ini.
“Diskaun tertakluk kepada kaedah bayaran sebagaimana Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Kelantan Bilangan 1 Tahun 2024,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!