Tambahan waktu kerja jururawat munasabah - Dzulkefly
PARIT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai munasabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, biarpun dalam arahan baharu itu memerlukan jururawat bekerja lebih masa, kebajikan mereka lebih terjaga.
Menurutnya, ia dilaksanakan menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel walaupun waktu kerja berubah daripada 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini.
"Sebenarnya (jururawat) bekerja empat hingga enam hari seminggu di mana tempoh bekerja sehari mestilah tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih daripada 12 jam.
"Dalam pada itu, selingan itu kita beri satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja, satu hingga tiga hari rehat seminggu. Saya kira sangat munasabah dan berwajaran," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Projek Hospital Seri Iskandar dan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung (HSM) di Hospital Seri Iskandar di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, bagaimana pun pihaknya sedia menambah baik pelaksanaan waktu kerja tersebut.
Pada Rabu, sebuah portal berita melaporkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah SSPA yang akan memerlukan jururawat di wad hospital untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu.
Dalam pada itu, Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dalam satu kenyataan menggesa KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula keputusan yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini.
Mereka menyifatkan arahan baharu di bawah SSPA itu bukan sahaja tidak adil malah berisiko memburukkan lagi keadaan dihadapi kakitangan kejururawatan yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!