Belanjawan Perak lebih mesra rakyat

Mohammad Zahir (tengah) dalam sidang akhbar sempena Persidangan DUN Perak yang berlangsung 29 November depan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Mohammad Zahir (tengah) dalam sidang akhbar sempena Persidangan DUN Perak yang berlangsung 29 November depan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
A
A
A

IPOH - Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini lebih bersifat mesra rakyat.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, perincian diberikan dalam belanjawan itu juga menepati hasrat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang mengutamakan pembangunan negeri dan rakyat yang mapan.

"Saya percaya kerajaan negeri prihatin kepada keadaan semasa dan akan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada kesejahteraan rakyat Perak.

"Menteri Besar dan barisan Exco telah bekerja kuat, ini termasuklah pergi kepada pelaburan-pelaburan dari luar (negara) demi mendapatkan hasil yang tentunya memberi banyak manfaat untuk dinikmati rakyat negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Speaker DUN, Jenny Choy Tsi Jen dan Penolong Setiausaha Dewan Negeri, Amir Fadli Mohamed Halmi.

Persidangan DUN Perak dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 29 November hingga 5 Disember.

Mohammad Zahir berkata, pembentangan Belanjawan Negeri akan dibawa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan semua ahli Dewan Negeri diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Katanya, masa sesi perbahasaan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan Ketua Pembangkang selama 45 minit manakala 20 minit bagi Ahli Dewan Negeri yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Dalam persidangan kali ini, Dewan Negeri turut menerima usul pemilihan bagi keanggotaan seorang Ahli Dewan Negara.

"Tarikh tutup pencalonan bagi pemilihan ini adalah esok (Jumaat) dan setakat ini, kita sudah menerima dua pencalonan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Perak akan melancarkan Portal Dewan Negeri yang julung kali diperkenalkan pada hari pertama Persidangan DUN nanti.

Ujarnya, portal berkenaan akan mengandungi maklumat dan sumber rujukan mengenai Dewan Negeri Perak termasuk video, enakmen yang diluluskan, penyata rasmi (hansard) serta undang-undang tubuh negeri yang boleh diakses oleh orang awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!