G20: Indonesia tawar AS$30 juta biayai aktiviti WHO

Prabowo (tengah) semasa menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil. Foto Facebook Sri Mulyani Indrawati
Prabowo (tengah) semasa menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil. Foto Facebook Sri Mulyani Indrawati
A
A
A

JAKARTA - Indonesia komited untuk menyediakan AS$30 juta bagi menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Presiden Prabowo Subianto semasa Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil pada Selasa.

"Kami bersedia untuk memberikan AS$30 juta bagi merapatkan jurang pembiayaan untuk aktiviti WHO. Kami berharap sumbangan ini dapat memberi impak positif kepada usaha murni yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya menurut laporan ANTARA.

Beliau kemudian mengajak negara-negara G20 lain untuk meneruskan kesan positif kumpulan itu terhadap tindakan kolektif untuk menangani cabaran global, termasuk isu kesihatan, perubahan iklim, kelaparan dan kemiskinan.

"’Kuasa perhimpunan’ G20 mesti menyatukan dan membawa bersama ekonomi maju serta sedang pesat membangun, dengan menyatukan pandangan berbeza sebagai tindak balas kepada cabaran paling mendesak di dunia, dalam semangat ketelusan, keterangkuman dan konsensus sebagai prinsip penting dalam G20 kita,” katanya.

Di luar sidang kemuncak itu, Prabowo turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menurut Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati.

Dalam catatan di akaun laman sosial Instagram miliknya, beliau berkata, kedua-dua tokoh itu membincangkan cabaran semasa yang dihadapi WHO di tengah-tengah situasi global yang dinamik.

"Presiden @prabowo menyampaikan komitmen Indonesia untuk menyokong aktiviti WHO dalam memperkukuh sistem kesihatan global yang adil dan berkualiti,” tulis Indrawati. - Bernama-ANTARA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!