Suspek kes buli UPNM didakwa esok
KUALA LUMPUR - Suspek kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah akibat dipijak penuntut senior akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan berkenaan akan dilakukan di mahkamah pada jam 9 pagi.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, kita telah mendapat arahan untuk pertuduhan ke atas suspek mengikut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Sehingga kini seramai 16 saksi dipanggil bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Rusdi dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Mangsa mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!