Covid-19 dijangka tak jejaskan permintaan makanan ruji
KUALA LUMPUR - Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) menjangkakan koronavirus (Covid-19) tidak memberikan kesan ketara ke atas permintaan makanan ruji seperti minyak sayuran.
Firma penyelidikan itu sebaliknya berkata, permintaan terhadap bekalan makanan asas seperti minyak sayuran akan meningkat susulan penularan Covid-19 memandangkan kebimbangan akan mendorong pengguna menyimpan stok keperluan makanan asas di rumah.
“Selain itu makan di luar juga mungkin dikurangkan, justeru hidangan makanan yang dimasak di rumah akan meningkat,” menurut Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.
Ia yakin penggunaan minyak makan oleh pengguna akan bertambah apabila menyediakan hidangan makanan di rumah memandangkan mereka cenderung untuk tidak menggunakan semula minyak masak terpakai berbanding restoran.
Di samping itu, faktor penularan jangkitan Covid-19, nama rasmi novel koronavirus 2019 yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, juga akan meningkatkan penggunaan produk pembersih peribadi seperti cecair pencuci tangan, gel mandian, sabun, cecair pencuci mulut dan syampu yang mengandungi minyak sawit.
Maybank IB yang mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor perladangan serantau berkata, kebimbangan lebih besar adalah sekiranya penularan jangkitan Covid-19 tidak dapat dikekang.
“Jika ia berlaku, kita bimbang harga minyak sawit mentah (MSM) mungkin mengalami tekanan jualan lebih buruk berbanding permintaan sebenar terhadap minyak sawit itu sendiri,” menurutnya.
Maybank IB juga bimbang kemungkinan berlakunya pembatalan kontrak atau rundingan semula syarat kontrak oleh pembeli China dan India disebabkan harga MSM yang amat tidak menentu sejak akhir-akhir ini malah berada dalam aliran rendah sejak awal 2020.
Ia berkata, pasaran berpandangan Covid-19 yang menyerupai SARS-CoV pada 2003 itu jauh lebih mudah merebak memandangkan jumlah kes jangkitan dan maut masih meningkat dari hari ke hari.
“Jika langkah sekatan keluar masuk dan kuarantin yang dijalankan China yang sebelum ini tidak pernah dilaksanakannya, terbukti tidak berkesan dan epidemik ini kemudiannya menjadi pandemik serta berlarutan sehingga musim panas di Hemisfera Utara, sentimen dijangka menjadi semakin bertambah buruk ketika itu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!