[VIDEO] Duda dituduh tipu 36 tiket konsert Andy Lau, Jay Chou
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja syarikat hiburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menipu berhubung pembelian 36 tiket konsert Andy Lau dan Jay Chou, mencecah RM67,608, pada Mei hingga September lalu.
Penganggur, Thomas Lee Huat Sheng, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.
Duda anak dua itu didakwa menipu dalam urusan tidak wujud, dengan memperdayakan seorang ejen hartanah berusia 38 tahun, babit 16 tiket konsert ‘seat VIP Today... Is The Day, Andy Lau Concert Tour 2024 in Malaysia’ yang dijadualkan pada 24 hingga 27 Oktober lalu, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.
Ia juga membabitkan 20 tiket konsert ‘seat VIP Jay Chou's Carnival World Tour 2024 Concert in Malaysia’ yang dijadualkan pada 26 Oktober lalu, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini.
Tertuduh dituduh mendorong mangsa membuat pemindahan wang sebanyak RM67,608 menerusi tiga transaksi ke akaun Bank CIMB milik tertuduh, yang mana dia tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Kinrara, Puchong di sini pada 25 Mei hingga 5 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Norashikin Ibrahim yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan kerana tertuduh mempunyai penyakit bipolar perlu menjaga dua anak berusia lima dan tujuh tahun.
“Dia yang juga seorang bapa tunggal, tidak mempunyai pekerjaan, terpaksa tinggal bersama keluarganya," kata Izzat.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak yang dicadangkan pihak pendakwaan serta menetapkan 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!