'UPSR dapat D, SPM esok naik A' - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terlalu awal untuk menilai prestasi serta pencapaian anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang akan memasuki tahun kedua pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau optimis kerajaan yang diterajuinya kelak akan memperoleh gred pencapaian lebih baik.
"Tentang Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) bagi D, tak apalah bagi D, bukan F. UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dapat D, SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) esok naik A, Insya-ALLAH. Dia (kerajaan ini) baru sangat," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebelum ini Bersih dilapor memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Ahad ini genap dua tahun tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Sementara itu mengenai peruntukan kepada pembangkang, Anwar mengulangi gesaannya supaya rundingan segera dilaksanakan bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi memuktamadkan isu berkenaan.
"Tentang peruntukan, saya tidak faham hal ini pun termasuk dalam laporan Bersih.
Dia mengetepikan kenyataan ketika saya jadi Ketua Pembangkang, saya berunding dengan jawatankuasa, Perdana Menteri dan setelah berunding, baru diputuskan.
"Kita tidak terima draf awal, kita terima draf yang dipinda.
Yang Berhormat Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) juga sedia maklum bahawa rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri II jelas.
"Tetapi nampak keengganan pembangkang berunding menyebabkan hal ini tertangguh.
Jadi kalau Yang Berhormat Pendang (Datuk Awang Hashim) setuju jadi salah seorang perunding, boleh runding segera dan kalau setuju, kita boleh terima," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!