37,000 pengguna di Pulau Pinang bakal alami gangguan bekalan air
GEORGE TOWN - Seramai 37,000 pengguna di kawasan utara pantai di Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 14 jam pada minggu hadapan.
Kawasan yang akan terjejas ialah Bagan Jermal, Batu Ferringhi, Mount Erskine, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah,Tanjung Pinang dan Teluk Bahang.
Jumlah itu termasuk pengunjung yang menetap di hotel antarabangsa di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, gangguan bekalan air itu akan berlaku semalaman bermula jam 10 malam 28 November sehingga 12 tengah hari 29 November ini.
"Kesemua kawasan tersebut akan mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah buat sementara waktu.
"Semua pengguna yang terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air untuk kegunaan semalaman dan pada pagi berikutnya sehingga perkhidmatan bekalan air pulih," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas mengenai berlakunya gangguan itu, Pathmanathan berkata, PBAPP terpaksa menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Batu Ferringhi untuk menjalankan beberapa kerja penting.
"LRA Batu Ferringhi merupakan pengeluar utama air terawat yang dibekalkan di semua kawasan yang terjejas. Kita terpaksa menghentikan tugas di LRA tersebut untuk penggantian injap 900 milimeter (mm) 36-inci) di LRA dan kerja-kerja servis elektrik serta penyelenggaraan pencegahan.
"Injap sluis 900mm di satu daripada paip salur masuk LRA Batu Ferringhi didapati tidak berfungsi. Injap yang rosak ini telah beroperasi sejak 2001 apabila LRA mula beroperasi," katanya.
Jelasnya lagi, PBAPP akan menggantikannya dengan injap kupu-kupu 900mm baharu.
"Pada masa yang sama, PBAPP akan melakukan servis pada alat suis voltan tinggi (11KV) dan transformer. Kakitangan TNB akan berada di tapak untuk kerja penyelenggaraan pencegahan berkenaan.
"Objektif utama kerja-kerja air ini adalah untuk memastikan LRA Batu Ferringhi beroperasi secara optimum pada era permintaan air yang tinggi dan perubahan iklim di Pulau Pinang," katanya.
Tambah beliau, terdapat juga risiko yang lebih rendah untuk kerosakan tidak terjangka atau kejadian yang boleh menjejaskan bekalan air secara tiba-tiba di semua kawasan perkhidmatan LRA.
"Kita memohon maaf atas segala kesulitan yang akan berlaku. Sila ambil perhatian bahawa semua kerja-kerja telah dijadualkan untuk dijalankan pada waktu malam dan awal pagi untuk meminimumkan kesulitan.
"PBAPP juga akan menyediakan kemas kini berkala tentang kemajuan kerja dalam tempoh SWSI melalui laman Facebook PBAPP. Kami memohon pemahaman dan kerjasama daripada semua pengguna air yang terjejas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!