Reka cerita disamun, tiga pengawal keselamatan ditahan cuba larikan RM200,000

Syed Basri menunjukkan wang yang dibawa lari oleh ketiga-tiga suspek.
Syed Basri menunjukkan wang yang dibawa lari oleh ketiga-tiga suspek.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga pengawal keselamatan sebuah syarikat keselamatan di sini ditahan polis selepas pecah amanah dengan cuba melarikan wang berjumlah RM200,000 pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, ketiga-tiga mereka juga pada awalnya membuat laporan palsu mendakwa van syarikat yang dipandu telah disamun dan guni berisi wang RM200,000 turut dibawa lari.

Wang RM200,000 yang berjaya ditemui semula selepas dibawa lari oleh tiga pengawal keselamatan.
Wang RM200,000 yang berjaya ditemui semula selepas dibawa lari oleh tiga pengawal keselamatan.

Menurutnya, kejadian pada jam 12 tengah hari itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar wang ke sebuah institusi kewangan selepas mengambilnya di sebuah bank di Mergong.

"Taktik ketiga-tiga mereka ini terbongkar selepas pihak polis curiga dengan keterangan awal mereka yang dilihat meragukan.

"Pihak polis berjaya menghidu helah mereka dan berjaya mendapatkan kembali wang yang dibawa lari mereka dalam tempoh dua jam," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada khamis.

Menurutnya, susulan itu pihak syarikat tersebut juga membuat satu laporan polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Syed Basri menunjukkan pakaian syarikat yang dipakai oleh suspek.
Syed Basri menunjukkan pakaian syarikat yang dipakai oleh suspek.

"Kesemua suspek yang merupakan warga tempatan berusia 28 hingga 38 tahun ditahan reman selama tiga hari bermula 20 November.

"Pihak polis juga merampas beberapa barang termasuk tiga telefon bimbit, baju syarikat, wang tunai yang dibawa lari bekas digunakan untuk mengisi wang dan sebuah motosikal," ujarnya.

Syed Basri berkata, dua daripada tiga suspek berkenaan juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Bagaimana pun kesemua mereka tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah.

"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 14 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika disabit kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!