Kontraktor cemerlang dipertimbang projek seterusnya - Nanta
PARIT - Kontraktor yang cemerlang dalam melaksanakan projek-projek Kementerian Kerja Raya (KKR) wajar diberikan peluang untuk projek seterusnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah diminta menyiapkan laporan prestasi kontraktor yang cemerlang supaya boleh dimasukkan dalam senarai kontraktor berwibawa untuk dipertimbangkan bagi projek-projek pada masa hadapan.
Menurutnya, ia sebagai tanda menghargai mereka yang menepati masa dan memastikan projek sempurna.
"Bukan semestinya kita bagi pada mereka, itu terpulang kepada syarat-syarat yang mesti dipenuhi sebab melalui tender terbuka ini kita juga melihat kepada harga yang dibida.
"Ini bukanlah semestinya dilakukan dan buka rasmi, tapi boleh kami ambil sebagai satu prinsip mana-mana syarikat yang cemerlang kita ambil perhatian," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika hadir Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bersama KKR, JKR dan Konsesi Jalan Persekutuan Bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) di Jalan FT005 Jalan Jelapang-Ipoh-Ayer Tawar dekat Seri Iskandar di sini pada Khamis.
Sementara itu mengenai CSR itu, Alexander berkata, lokasi tersebut dipilih kerana lokasi sering berlaku banjir kilat apabila hujan lebat luar biasa.
Katanya, selain daripada menampung air larian permukaan jalan, longkang-longkang ini turut menampung air daripada pembangunan lama yang berada di kiri kanan jalan.
Jelasnya, program seumpama itu bukan sahaja di Perak tetapi turut dilaksanakan di negeri lain berikutan peralihan MTL.
Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan oleh syarikat konsesi sebagai menyumbang semula hasil perniagaan mereka kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!