Segera cari kaedah selesai isu 500 pelajar Thailand guna pangkalan haram

Pangkalan haram yang digunakan penduduk di Sungai Golok Rantau Panjang. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
Pangkalan haram yang digunakan penduduk di Sungai Golok Rantau Panjang. Gambar kecil: Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mahu Persekutuan segera mencari mekanisme bagi menyelesaikan isu hampir 500 pelajar sekolah dari negara Thailand yang menaiki bot di pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia bagi menggelakkan pelajar berkenaan turut terkena tempias dalam usaha membanteras penyeludupan.

Menurut beliau, perbincangan itu perlu melibatkan kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Sekarang ini, kami tidak mahu menganiaya pelajar-pelajar tetapi pada masa sama nak membanteras penyeludupan di kedua-dua negara.

Bot-bot yang diletakkan di sepanjang Sungai Golok.
Bot-bot yang diletakkan di sepanjang Sungai Golok.

“Isu ini antaranya melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan, jadi perlu berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Beliau mengulas, menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk menjaga sempadan negara, Kelantan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberi kebaikan kepada negeri serta negara.

Mohamed Fadzli memberitahu, rakyat di negeri ini juga perlu bersedia berubah daripada perkara yang sekian lama diamalkan iaitu menyeberang secara haram menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok kepada menggunakan dokumen di laluan sah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik setiap keputusan yang diputuskan kerajaan Pusat berhubung isu keselamatan sempadan termasuk arahan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember ini.

“Sebelum ini mungkin terlalu terbuka menyebabkan rakyat rasa tidak ada keperluan untuk buat demikian.

“Sekarang perlu bermula manakala semua agensi juga kena bersedia sama ada berlaku kesesakan di pintu masuk sempadan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.

Seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah.

Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!