Pemandu tular langgar lari penunggang motosikal ditahan, miliki 10 rekod jenayah
KLANG - Seorang pemandu kereta jenis Toyota Camry ditahan polis selepas terlibat dengan kejadian langgar lari di persimpangan Lebuh Turi menghala ke Persiaran Raja Muda Musa di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemandu terbabit dipercayai telah menghimpit dan merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita sekitar jam 1.45 petang sebelum bertindak melarikan diri.
Bagaimanapun ujar beliau, video kejadian berdurasi 30 saat itu telah dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain dan dimuat naik ke media sosial.
"Penunggang motosikal juga telah membuat laporan polis setelah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kerana patah kaki kiri dan luka di beberapa bahagian badan.
"Bertindak atas rakaman video tular itu, pihak polis telah mengesan kenderaan tersebut melalui beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada beberapa pemilik bangunan perniagaan di sepanjang laluan suspek ketika melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hoong Fong berkata, tangkapan telah dibuat ke atas suspek pada jam 12 tengah hari Rabu, manakala kenderaan terlibat turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai 10 rekod jenayah lampau selain memiliki 15 waran tangkap atas kesalahan trafik di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Suspek juga akan disiasat dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah yang dilakukan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan sentiasa bertindak secara lebih bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan yang boleh memudaratkan diri dan pengguna jalan yang lain," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!