Bilionair India, Gautam Adani didakwa rasuah

Kes ke atas Gautam Adani membabitkan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing di bawah undang-undang antirasuah AS. Foto Agensi
Kes ke atas Gautam Adani membabitkan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing di bawah undang-undang antirasuah AS. Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Pengerusi konglomerat India, Adani Group didakwa di New York atas penglibatannya dalam kes rasuah bernilai bilion dolar dan skim penipuan, menurut pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Gautam Adani berdepan pertuduhan itu bersama dua eksekutif Adani Green Energy yang juga anak saudaranya, Sagar Adani dan Vneet Jaain berhubung pemberian wang suapan berjumah lebih AS$20 juta (RM89.3 juta) kepada pegawai kerajaan di India antara 2020 dan 2024 untuk mendapatkan kontrak bekalan tenaga solar yang dijangka memberi keuntungan sebanyak AS$2 bilion (RM8.93 bilion) bagi tempoh 20 tahun.

Pendakwa raya memaklumkan syarikat tenaga boleh diperbaharui itu juga memperoleh lebih AS$3 bilion (RM13.4 bilion) dalam bentuk pinjaman dan bon sepanjang tempoh tersebut berdasarkan kenyataan palsu serta mengelirukan.

Kes tersebut membabitkan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing di bawah undang-undang antirasuah AS.

Rekod mahkamah menunjukkan hakim telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Gautam dan Sagar Adani serta pendakwa raya merancang untuk menyerahkan waran tersebut kepada penguatkuasa undang-undang asing.

Menurut majalah Forbes, nilai kekayaan Adani, 62, mencecah AS$69.8 bilion (RM311.8 bilion), sekali gus menjadikan beliau sebagai individu ke-22 paling kaya di dunia dan bilionair kedua terkaya di New Delhi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!